• Sajak Guru 'o' Guru - Dedikasi buat semua yang bergelar guru di Malaysia

    BERBURU ke padang datar
    Dapat rusa belang kaki
    Berguru kepala ajar
    Ibarat bunga kembang tak jadi
    (dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

    Dialah pemberi paling setia
    Tiap akar ilmu miliknya
    Pelita dan lampu segala
    Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

    Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
    Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
    Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
    Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

    Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
    Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
    Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
    Jika hari ini seorang ulama yang mulia
    Jika hari ini seorang peguam menang bicara
    Jika hari ini seorang penulis terkemuka
    Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
    Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
    Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

    Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
    Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
    Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
    Dia adalah guru mewakili seribu buku;
    Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara.
    Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
    Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
    Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
    Menjadi kenangan ke akhir hayat.

    USMAN AWANG
    1979

    ** Saya dedikasikan buat semua guru di Malaysia terutama guru saya di SMT Kuala Lumpur, Victoria Institution, SMK Padang Tembak, SK Padang Tembak 2, SRA Pulapol dan juga SK Tunku Ismail, Sg Petani, Kedah.
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan