• Perlukah tutup sekolah teknik?

    BARU-BARU ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu perubahan besar terhadap dasar pelajaran teknik dan vokasional yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bertujuan memperkasakan lagi pendidikan teknik dan vokasional.

    Pengeluaran pelajar yang mempunyai kemahiran dalam bidang vokasional akan ditingkatkan lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus pada masa akan datang. Ini merupakan satu perkembangan yang baik, dan saya selaku rakyat Malaysia menyokong penuh dasar ini, terutamanya dalam usaha negara kita mencapai Wawasan 2020.

    Selaku bekas seorang penuntut Sekolah Menengah Teknik (SMT), apa yang menjadi kemusykilan saya ialah cara dasar ini dilaksanakan. Ia kelihatan begitu tergesa-gesa tanpa membuat kajian yang lebih mendalam, tanpa mendapat pandangan pelbagai pihak yang lebih arif dalam bidang ini.

    Kita telah mempunyai pengalaman dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kerugian yang besar telah dialami oleh rakyat di atas perlaksanaan satu dasar yang tergesa-gesa tanpa kajian yang menyeluruh dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak.

    Mengikut perancangan yang akan dilaksanakan, semua sekolah vokasional akan dinaik taraf, manakala semua sekolah teknik, termasuk sembilan buah sekolah teknik yang asal, akan ditukar menjadi kolej teknikal. Pelajar akan diambil daripada lepasan tingkatan tiga dan mengikuti pengajian selama tiga tahun dalam sesuatu bidang kemahiran. Pelajar yang dipilih pula terdiri daripada mereka yang tidak berkemampuan dalam bidang akademik, jadi mereka lebih banyak didedahkan dalam bidang kemahiran tertentu.

    Saya merasa amat terkilan sekiranya perancangan ini menjadi satu kenyataan. Penutupan SMT yang telah begitu banyak melahirkan jurutera, arkitek, akauntan, doktor sejak tahun 70-an hingga sekarang adalah sesuatu yang merugikan negara.

    Kalau dahulu ibu bapa amat berbangga sekiranya anak mereka terpilih untuk memasuki SMT kerana prestasinya yang amat baik selepas sekolah berasrama penuh, kini tidak lagi. Sumbangan yang begitu besar diberikan oleh SMT kepada kemajuan negara telah dilupakan, malah penutupannya merupakan sesuatu yang begitu tragis kepada kami.

    Mengapa pihak Kementerian Pelajaran perlu menutup sekolah teknik? Sepatutnya ia perlu dinaik taraf dan ditambah. Apakah pihak kementerian tidak melihat sumbangan yang telah diberikannya kepada kemajuan negara?

    SMT telah berjaya melahirkan begitu ramai profesional, terutamanya jurutera, kerana sistem pelajaran yang disediakan di sana adalah amat sesuai untuk mendedahkan pelajar dalam bidang kejuruteraan berbanding sekolah menengah biasa dan sekolah vokasional.

    Di SMT, pelajar diajar tentang asas kejuruteraan di mana sukatannya hampir sama dengan apa yang bakal dipelajari pada peringkat universiti. Ini secara tidak langsung menyediakan minda mereka dan memupuk minat mereka dengan lebih mendalam dalam sesuatu bidang kejuruteraan, pertanian dan perdagangan.

    Apa yang mendukacitakan, sejak kebelakangan ini status dan sumbangan SMT telah mula dilupakan bukan sahaja oleh masyarakat malahan pihak Kementerian Pelajaran sendiri. Ini mungkin disebabkan perubahan sistem pelajaran kita di mana selepas pelajar tamat pengajian di peringkat matrikulasi, mereka telah ditawarkan bidang pengajian yang jauh menyimpang daripada apa yang dipelajari semasa di SMT.

    Contohnya, pada peringkat sekolah teknik, mereka mengambil jurusan mekanikal, tetapi selepas tamat matrikulasi dan melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mereka ditawarkan bidang perniagaan pula. Bukankah ini merupakan pembaziran yang amat besar dan merugikan pelajar kita? Potensi dan bakat mereka seolah-olah tidak diambil kira oleh pihak IPTA. Apa gunanya mereka membuang masa mempelajari bidang kejuruteraan di peringkat sekolah, sedangkan hak mereka dinafikan selepas memasuki IPTA?

    Faktor inilah yang membuatkan ibu bapa semakin kurang berminat memasukkan anak mereka ke SMT kerana untuk menjadi jurutera, pelajar sekolah biasa pun boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Tiada apa-apa keistimewaan bagi mereka yang memasuki SMT.

    Harapan kami sebagai alumni SMT, Kementerian Pelajaran mengkaji semula kesan perubahan yang akan dilaksanakan. Perkasakanlah semua SMT, jadikanlah ia sebagai sebuah sekolah elit seperti sekolah berasrama penuh supaya kita dapat melatih bakal tenaga kerja profesional pada peringkat sekolah lagi.

    Janganlah kita hanya mengejar untuk melahirkan pekerja berkemahiran semata-mata dengan memfokuskan sekolah vokasional, tetapi menutup sekolah teknik. Buatlah kerjasama dengan IPTA di mana pelajar cemerlang dapat meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan tertentu tanpa perlu memasuki kolej matrikulasi seperti yang dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada suatu masa dulu.

    Ini kerana lepasan SMT sememangnya telah didedahkan dengan ilmu kejuruteraan. Mengapa mereka perlu membuang masa untuk ke kolej matrikulasi. Dengan cara ini saya percaya imej SMT akan dapat dikembalikan dan minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini akan bertambah.

    Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil perhatian serius mengenai perkara ini supaya negara kita tidak hanya mempunyai bilangan pekerja mahir yang tinggi, tetapi juga jurutera yang mencukupi menjelang 2020.

    ROMLI ABU SEMAN

    Alor Setar, Kedah.

    Sumber : Utusan Malaysia, 25/11/2010

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan