• MAHA 2010 : Penanda Aras Pencapaian Industri Pertanian Negara


    Saya dan buah nangka paling besar dalam pameran MAHA 2010.


    Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan. Begitulah tema Malaysia Agriculture, Horticulture and Agro-tourism Show 2010 (MAHA 2010) yang berlangsung kini di MAEPS, Serdang berhampiran Universiti Putra Malaysia, salah sebuah universiti penyelidikan. MAHA International 2010 berlangsung selama 10 hari bermula pada 26 November 2010 sehingga 5 Disember 2010.


    Cantik bunga kobis yang dipamerkan.


    Pameran berasaskan pertanian ini adalah yang terbesar di Malaysia dan mungkin juga di rantau Asia dan merupakan platfom terbaik buat para penternak, peladang dan juga usahawan berasaskan agro untuk mempromosi barang mereka kepada umum secara terus.


    Banyak gerai dan pameran dibuka bersempena Maha 2010

    Industri pertanian di Malaysia semakin berkembang dengan adanya usaha untuk menginovasikan dan mempelbagaikan hasil keluran pertanian kepada kualiti yang lebih baik. Kecanggihan teknologi dan dan kajian yang dibuat untuk meningkatkan industri asas ini seharusnya diperkembangkan lagi supaya para petani, peladang dan juga nelayan mendapat manfaat daripada hasil kajian dan teknologi tersebut.

    Bergambar di hadapan Pavilion Negeri Serambi Mekah, Kelantan Darul Naim

    Bagi merintis usaha-usaha berikut, kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi untuk memperkasakan industri-industri tertentu seperti MARDI (Perladangan & Pertanian), Jabatan Perikanan (Nelayan), Jabatan Veterinar (Penternakan), FAMA (Pemasaran Hasil Tani), KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), BERNAS (Padi), FELDA (Getah dan Kelapa Sawit) dan FELCRA (Kelapa Sawit).

    Hasil pertanian yang berkualiti. Nenas dari Negeri Johor.

    Saya sempat meluangkan masa cuti saya bersama rakan baik saya, Lokman untuk melawat pameran MAHA International 2010 pada hari ini. Saya sebenarnya kagum dengan perkembangan industri Agro di negara kita yang semakin hari semakin maju berkat kegigihan para petani, nelayan dan peladang di samping usaha para penyelidik dalam bidang Agro dalam usaha memartabatkan industri pertanian dalam negara yang kita cintai ini.


    Saya dan Lokman dalam Trem :) Jauh kot kawasan pameran MAHA 2010.

    Industri pertanian seharusnya tidak dipandang enteng kerana industri ini penting dalam membekalkan makanan untuk rakyat dan negara. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa golongan petani, nelayan dan penternak inilah yang selama ini berjasa pada negara kerana membekalkan hasil pertanian yang berkualiti untuk rakyat Malaysia nikmati (sehingga negara kita digelarkan negara obesiti kerana banyak makan). Alhamdulillah dan terima kasih, sesungguhnya negara kita dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat untuk dinikmati kita.


    Persembahan Kebudayaan daripada Pavilion Bumi Kenyalang, Negeri Sarawak


    Saya amat terpegun dengan pencapaian industri pertanian negara kita. Bayangkan sekiranya anda dapat jumpa buah cempedak atau nangka sebesar budak lelaki tiga tahun? Banyangkan setandan pisang yang besar di hadapan mata anda? Pasti mengujakan anda. Begitulah yang saya alami semasa di MAHA 2010. Tahniah buat semua kerana menjadikan sektor pertanian kita maju.

    Melalui pengamatan saya, ramai yang mula memandang industri pertanian ini sebagai suatu sektor yang mampu pergi jauh dan tidak lagi dilabel sebagai sektor dunia ketiga. Bersesuaian dengan dasar kerajaan, Pertanian adalah Perniagaan, ramai dalam kalangan rakyat negara kita mula berjinak-jinak dengan industri ini malah ada juga yang menjadikan pertanian sebagai profesion pilihan mereka. Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana kita sudah mula belajar menghargai kebaikan berbakti pada tanah.


    Logo 1 Malaysia daripada buah. Kredit buat Pavilion Negri Johor Darul Takzim

    Sekalung tahniah diucapkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan menterinya Datuk Seri Noh Omar kerana berjaya memartabatkan industri pertanian negara ke tahap yang lebih tinggi dan juga agensi-agensi kerajaan seperti MARDI, FAMA dan MIDA yang senantiasa berusaha untuk meningkatkan hasil dan juga nilai pasaran pertanian negara bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa. Tidak lupa juga usaha-usaha yang telah dilakukan oleh syarikat swasta seperti Sime Darby dan juga agensi berkaitan seperti JAKIM yang senantiasa memastikan keluaran industri pertanian halal dan berkualiti tinggi.

    Semasa dalam perjalanan ke tapak pameran MAHA 2010, sudah semestinya saya melalui sebuah universiti penyelidikan yang tersohor dalam negara ini dalam bidang pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bermula sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada tahun 1931, UPM kini mampu melahirkan ramai profesional berkaitan industri pertanian negara. Falsafah 'Berilmu Berbakti' yang menjadi pegangan warga UPM sejak dari dahulu kini terbukti dengan perkembangan pesat industri pertanian negara dan buktinya, MAHA International 2010 adalah penanda aras tahap kemajuan industi agro negara.


    Pencapaian kepada Industri Pertanian and agro-kultur Negara, Universiti Putra Malaysia, sebuah universiti penyelidikan.


    Kini pertanian bukan lagi hanya produk di pasar-pasar basah atau pasar malam, malah ekspo berkelas lima bintang pun mampu dikuasai oleh bidang pertanian. Syabas buat para petani, peladang dan nelayan. Titik peluh anda merupakan pengorbanan suci anda untuk kemakmuran negara.
  • You might also like

    1 ulasan: