• BN kekal di Bumi Kenyalang

    KUCHING 16 April – Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan di Sarawak dengan majoriti dua pertiga walaupun berhadapan dengan tentangan sengit khususnya di kawasan pengundi Cina.

    BN memperbaharui mandat rakyat apabila menang 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebahagian besarnya disumbang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    Berikutan kemenangan itu, Pengerusi BN negeri yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis, di sini.

    PBB mengulangi rekod pilihan raya negeri pada 2006 apabila menyapu bersih kesemua 35 kerusi yang ditandinginya di kawasan majoriti Melayu/Melanau dan Dayak.

    Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) kalah teruk malah Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri George Chan Hong Nam tewas kepada calon DAP di DUN Piasau.

    Satu lagi parti komponen BN negeri ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang menang lapan daripada sembilan kerusi yang ditandinginya.

    Walaupun berjaya merampas DUN Ngemah daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), PRS kehilangan satu kerusi di Pelagus yang merupakan satu-satunya kawasan yang dimenangi calon Bebas iaitu George Lagong.

    Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang menyapu bersih lapan kerusi pada pilihan raya negeri 2006 pula gagal mengulangi pencapaian itu apabila menang di enam DUN sahaja dan tewas di Ba’kelalan dan Krian.

    Pencapaian terbesar parti pembangkang dilakar oleh DAP yang menawan hampir keseluruhan kawasan majoriti pengundi Cina apabila menang di 12 kerusi.

    Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula hanya berjaya menawan tiga DUN iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.


    sumber : Utusan Malaysia 17/4/2011

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan