• Kenyataan Umum Presiden KSJ Mengenai Isu Semasa KSJ 31/03/2011


    Kenyataan Umum Presiden KSJ Mengenai Isu Semasa KSJ 31/03/2011

    Assalamualaikum wrbh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk berinteraksi bersama umum di laman sesawang facebook. Saya dan rakan-rakan kepimpinan dalam JKM KSJ senantisa sedar dan prihatin mengenai isu berbangkit di Kediaman Siswa Jaya yang amat kita cintai dan seterusnya sama-sama mendaki ke puncak kecemerlangan, InsyaAllah. Saya dan seluruh warga kerja JKM KSJ juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penghuni di Kediaman Siswa Jaya yang tidak putus-putus terus memberikan sokongan pada kepada JKM KSJ untuk terus mentrasformasikan organisasi penting di KSJ ini agar lebih maju ke hadapan. Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Pemangku Pengetua, Encik Mohd Sharil Abdullah dan barisan Majlis Felo yang senantisa memberikan tunjuk ajar dan juga menyokong segala gerak kerja kami untuk KSJ.Baiklah, dalam sepanjang bulan ini, terdapat beberapa perkara yang ingin disentuh bagi memberikan matlumat jelas mengenai apa yang berlaku di Kediaman Siswa Jaya. Pertama, saya akan menyentuh mengenai isu water cooler.

    Alhamdulillah, semalam, water cooler di Blok B Aras 2 Kediaman Siswa Jaya telah pun diperbaiki. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pentadbiran KSJ atas keprihatinan untuk menyelesaikan masalah ini berdasarkan laporan yang telah dikemukakan mahasiswa blok B.

    Malangnya, apabila sudah siap, timbul pula suara-suara sumbang yang menyatakan kelewatan membaiki watercooler ini adalah disebabkan kegagalan JKM KSJ untuk melaporkan isu ini kepada pihak pejabat dan juga ada yang bertindak mengecam ahli JKM KSJ yang tinggal di sekitar bilik water cooler ini kononnya tidak peka dengan masalah blok.

    Untuk makluman kalian semua, dalam perbincangan saya dengan felo yang menjaga portfolio Jabatan Kebajikan dan Pengaduan Awam Blok B, Puan Naimah Mohamed, beliau menyatakan bahawa kelewatan membaiki water cooler ini adalah disebabkan setiap aduan di buat mahasiswa itu perlu melalui banyak birokrasi dan ditapis di peringkat pengurusan universiti. Aset seperti water cooler adalah dibawah penyeliaan Pejabat Harta Bina UTM. Oleh yang demikian, apabila watercooler ini rosak, maka pihak pentadbiran KSJ akan melaporkan kepada Pejabat Harta Bina UTM untuk diperbaiki dan seterusnya, pihak Pejabat Harta Bina yang akan menghubungi vendor atau syarikat yang menyelenggara aset tersebut.

    Maka, timbul satu lagi persoalan, mengapa bukan pihak KSJ yang melaporkan terus kepada pihak syarikat yang menyelenggara?

    Hal ini demikian kerana, kita harus faham bahawa UTM adalah sebuah organisasi yang besar dan setiap unit atau bahagian telah dibahagikan tugasnya. Segala yang berkaitan pengurusan asrama seperti penginapan, kebajikan mahasiswa dan aktiviti adalah bawah bidang kuasa Pejabat KSJ manakala aset dan segala harta benda dalam UTM adalah milik Pejabat Harta Bina. Konsepnya sama seperti peranan MPM dan juga JKM di universiti. Saling memerlukan dan tidak ada sama sekali pertindihan bidang kuasa.

    Diharapkan, dengan penjelasan ini, rakan-rakan KSJ saya faham mengenai apa yang berlaku sekiranya berlaku kelewatan membaiki aset asrama. Kita mahu pihak pentadbiran faham kita, tetapi dalam masa yang sama, kita harus juga faham dengan pihak atasan. Mereka sentiasa berusaha yang terbaik demi kesejahteraan warga KSJ. Jangan pula ada yang mengambil kesempatan pula dengan pembaik pulih ini dengan menjual nama bahawa pihak inilah yang berjasa kepada semua atas pembaikan ini kerana yang sebenarnya berusaha untuk membaik pulih ini adalah pihak Pejabat KSJ sendiri dan hasil maklumat mahasiswa yang memberikan laporan. Terima kasih.

    Kedua, sukacita untuk saya menyentuh mengenai komen-komen yang telah dibuat dalam Aduan Online Kediaman Siswa Jaya (https://spreadsheets.google.com/viewform?formkey=dEdXSEpfcks2SE5KX0JJbExFTHRrTGc6MQ). Adalah dimaklumkan bawa komen-komen yang dibuat anda telah mendapat perhatian sepenuhnya dalam mesyuarat Majlis Felo yang berlangsung pada minggu lepas.

    Terdapat beberapa isu yang telah diutarakan. Antaranya;

    Isu Wireless : Pihak KSJ telah mengambil inisiatif untuk berbincang kembali dengan pihak CICT untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu wireless di KSJ yang kerap kali terganggu. (Felo Jabatan ICT dan Penerangan, Puan Raja Aid)

    Isu Tempat Letak Motosikal Berbumbung : Pihak KSJ sedang mencari beberapa solusi untuk mewujudkan tempat letak motorsikal berbumbung. Sekiranya ada cadangan, bolehlah diajukan terus dalam aduan online KSJ (https://spreadsheets.google.com/viewform?formkey=dEdXSEpfcks2SE5KX0JJbExFTHRrTGc6MQ).

    Isu Makanan di Cafe : Jabatan Kebajikan dan Pengaduan Awam meminta kepada mana-mana yang terjumpa sebarang objek atau makhluk dalam makanan supaya melaporkan terus kes ini pada pejabat KSJ secepat mungkin dengan mengemukakan bukti seperti gambar dan juga maklumat yang lengkap seperti tarikh, masa, tempat dan apa makanan yang dimakan. Segala kerjasama mahasiswa amat dihargai untuk ini bagi usaha meningkatkan kualiti makanan di kafe KSJ

    Isu Kerosakan Tandas : Aduan ini sepatutnya tidak berlaku kerana segala kerosakan dalam bilik mahasiswa perlulah dilaporkan kepada pejabat blok untuk diambil tindakan penyelenggaraan.

    Ketiga, saya ingin menyentuh mengenai perkhidmatan Astro. Pihak KSJ senantiasa prihatin mengenai kemudahan untuk mahasiswa KSJ. Malangnya, ada juga dalam kalangan kita yang bersifat pentingkan diri sendiri dengan bertindak memegang kad pintar (smart card) Astro dan juga alat kawalan jauh. Saya memohon kepada individu yang melakukan perkara sedemikian untuk memulangkan kembali aset KSJ ini atau mana-mana rakan0rakan yang mengenali individu-individu ini untuk memulangkan kembali alat dan kad ini.

    Saya menyeru, jika anda tidak mahu berfikir untuk KSJ, fikirkanlah untuk rakan-rakan anda yang lain yang mahu menonton astro seperti anda. Usahlah bersifat pentingkan diri sendiri tetapi sebaliknya bersifatlah mahu berkongsi dan menghargai kemudahan yang disediakan untuk semua. Silalah pulang kad dan alat kawalan jauh astro ditempat yang sepatutnya atau lebih baik jika terus serahkan kepada pejabat blok untuk dipasang kembali pada decodernya.

    Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara/i rakan-rakan KSJ atas kesudian membaca kenyataan umum ini. Saya menyeru kepada semua, bersamalah bersatu hati dalam usaha mengharmonikan kehidupan seharian kita di KSJ. Bersyukurlah dengan apa yang ada serta bersifat prihatinlah dengan segala kepentingan bersama milik kita. Sekiranya kita mampu bersatu hati, insyaAllah, kehidupan kita di KSJ sudah semestinya harmoni dan senantiasa dirahmati Tuhan senantiasa.

    Dipihak kami, JKM KSJ, para felo dan pentadbiran KSJ yang diterajui Tuan Pemangku Pengetua, senantiasa berusaha untuk memastikan setiap daripada penghuni KSJ terjaga kebajikannya. Ayuh, kita sama-sama tunjukkan bahawa setiap daripada kita juga prihatin dengan apa yang dilakukan KSJ untuk kita dan menjaga aset-aset KSJ demi kepentingan bersama. Terima kasih.

    Sekian, Wassalam.

    -JKM KSJ Memperkasakan Mahasiswa-

    Ikhlas


    Wan Muhammad Idham Wan Mahdi,
    Presiden,
    JKM Kediaman Siswa Jaya,
    UTM International Campus, Kuala Lumpur.

    31/3/2011

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan