• Akhirnya, Ramadhan yang dinanti tiba..:)

    Alhamdulillah, akhirnya bulan yang dijanjikan Allah oleh umat Islam tiba. Ramadhan Mubarak nama diberi, merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam Hijriah.

    Di Malaysia, pengumuman puasa telah disempurnakan oleh Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu sebentar tadi. Dalam pengumuman itu, beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia akan berpuasa pada 1 Ramadhan 1432 Hijriah bersama 1 Ogos 2011 Masihi.

    Maka, dengan pengumuman itu, rasmilah tarikh untuk semua umat Islam di Malaysia untuk berpuasa. Alhamdulillah, saya dan juga seluruh umat Islam di seluruh dunia menyempurnakan langkah pertama dengan Solat Sunat Tarawikh dan Witir selepas solat Isyat di Suaru Kediaman Siswa Jaya, UTMic.

    Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana saya rasakan memang benar bahawa Bulan Ramadan ini merupakan bulan rahmat buat umat Islam kerana di surau tadi, buat pertama kalinya saya lihat saf lelaki penuh tujuh barisan. Malah, Ustaz Mokhtar dalam tazkirah pendeknya sebelum Solat Tarawikh menyatakan rasa terkejut beliau dan beliau berharap, momentum Ramadhan ini berterusan sepanjang dan selepas Ramadhan.

    Bersempena Ramadhan kali ini, alhamdulillah, rakan-rakan saya dalam kepimpinan kolej, Persatuan Mahasiswa Islam dan MPM Kerohanian mengambil inisiatif dengan berusaha untuk menjadikan Ramadhan ini lebih baik daripada sebelumnya di peringkat Kediaman Siswa Jaya. Jawatankuasa Ihya Ramadhan 1432H yang diterajui Syathir, Juwaeriyah dan rakan-rakan komited menghidupkan Ramadhan untuk menjadi satu platfom terbaik buat mahasiswa untuk mengubah diri mereka menjadi lebih baik melalui pendekatan kerohanian.

    Ada juga kalangan siswa yang mungkin tersalah tafsir apabila mengatakan program ini mengakibatkan mahasiswa berpuasa sebab program. Bagi saya, isu ini tidak timbul sekiranya pasak niat itu telah tertanam dalam hati nurani setiap daripada kita. Program Ihya Ramadhan jika diibaratkan dalam sistem kereta hanyalah sebagai bahagian badan luar kereta sahaja manakala tuntuan fardu berpuasa itu sebagai enjinnya.

    Dalam Islam, setiap ibadah yang kita buat mestilah niat kerana Allah SWT agar memperoleh keberkatan, bukan niat kerana nak dapat ganjaran yang bersifat sementara di dunia ini. Oleh yang demikian, saya berharap agar kita semua memasang niat untuk berpuasa kerana Allah dan melaksanakan segala ibadah kita, sama ada wajib mahupun sunat hanya kerana Allah yang maha Esa.

    Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa di Bulan Ramadhan buat semua rakan-rakan Blogger, penghuni Kediaman Siswa Jaya, rakan-rakan sekolah, sahabat handai di seluruh dunia dan seterusnya semua yang mengenali diri yang serba kekurangan ini. Ayuh kita jadikan bulan puasa ini sebagai tarbiah untuk kita mengubah diri kita menjadi insan yang lebih baik melalui madrasah Ramadhan. Semoga kita beroleh kemenangan dunia akhirat, InsyaAllah.

    "Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya" [Bukhari-Muslim]





  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan