• Air Mata di hujung Syawal

    Hari Jumaat yang penuh barakah semalam, saya diberi peluang dan kesempatan oleh Allah SWT untuk membantu seorang saudara baharu untuk memeluk Islam. Alhamdulillah, dengan kudrat yang saya ada, bersama seorang lagi rakan, kami dipermudahkan urusan ke pejabat MAIWP di Pusat Islam Malaysia (Berhadapan Masjid Negara) untuk membantu rakan kembali kepada fitrah Islam.

    Sesi selama dua jam di MAIWP bersama Ustaz Muhammad Firdaus dan pegawai MAIWP yang diakhiri dengan lafaz syahadah oleh seorang saudara baharu, dengan rela dan penuh ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Alhamdulillah. Saat kalimah syahadah yang dilafazkan oleh saudara baharu semasa memeluk Islam masih segar diingatan saya sehingga kini, dan entah kenapa saya sebak semasa beliau melafazkan syahadah. Sebak kerana gembira mempunyai saudara baharu seagama dan sebak dengan keberaniannya. Saya menangis kerana lafaz syahadah itu menyentuh hati saya walaupun dilafazkan setiap hari dalam solat, setiap kali semasa solat fardu dan sunat.

    Saya berfikir, apakah jika saya berada ditempatnya, saya diberi kekuatan untuk membuat keputusan sebegitu besar dalam hidup saya? Meninggalkan agama asal yang dianuti oleh keluarga untuk memeluk Islam yang suci. Membuat pengakuan menganut Islam, melakukan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

    Alhamdulillah, Allah telah memilih beliau untuk menerima anugerah Iman dan Islam pada hari terakhir bulan Syawal tahun ini.

    Saya tak merasai saat-saat ini kerana celiknya saya sudah diislamkan secara automatik sejak lahir. Saya juga tak merasai kesukaran mengamalkan ajaran Islam berikutan persekitaran saya adalah orang Islam. Betapa bersyukurnya saya dikurniakan nikmat Iman dan Islam itu sejak kecil.

    Alhamdulillah, ia membuka satu lagi perspektif saya agar senantiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan dan mendorong untuk mengukuhkan lagi iman senipis kulit bawang yang saya ada ini. Betapa kerdilnya saya, yang sentiasa mengharap keredaanNya.

    Doa dan harapan saya, semoga saudara baharu saya dipermudahkan urusan dan dipelihara iman sentiasa oleh Allah SWT. Allah tak memandang berapa lama atau senior hambaNya masuk Islam, tetapi memandang sejauh mana usaha kita untuk mendekatiNya.
     — with Nur Farhana Arissa.

    Cik Arissa dan Cik Zahirah bergambar dengan personaliti TV Al-Hijrah, En. Amin Idris

    Saya dan juga En. Amin Idris. 

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan