• Pemikiran dakwah P Ramlee

    Tan Sri Dr. P. Ramlee (1929-1973)

    Merenungi dan memahami zaman P Ramlee
     
    JIKA sesetengah daripada kita yang jarang menonton filem-filem hitam putih era 50-an dan 60-an, persoalan mungkin timbul tentang apakah dakwah yang disampaikan di kala aktres-aktres yang membintangi filem-filem tersebut boleh dikatakan 'berbungkus nangka' belaka?
     
    Sebelum kita berbicara persoalan sejarah tentang sesuatu perkara, premis pertama yang harus diambil kira untuk difahami ialah berkenaan latar masa dan tempat yang mewujudkan satu suasana kepada seseorang seniman untuk menghasilkan sesebuah karya. Beberapa persoalan harus diambil kira, adakah Islam benar-benar dihayati ketika itu? Apakah ada penggiat industri filem lain yang turut menghasilkan karya yang 'Islamik' seperti beliau? Kenapakah sesuatu tema itu digarap dalam sesebuah filem? Ini semua perlu diberi ruang dan peluang untuk diberikan penjelasan.
     
    Pada separuh pertama abad ke-20, perkembangan dan penghayatan tentang agama Islam tidaklah sesegar yang kita hirup hari ini. Islam ketika itu hanya tertumpu di masjid, surau, pondok-pesantren di mana tok-tok guru (tradisionalis) mengajarkan ilmu-ilmu berkaitan tasawuf dan feqah. Masyarakat kurang menghayati unsur-unsur di 'dalam masjid' itu untuk dibawa keluar supaya dapat diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. 
     
    Maka tidak hairanlah kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto-foto lama keluarga, lihatlah cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman tersebut. Saya pernah melihat sekeping gambar Perhimpunan Muslihat Parti Islam di awal 1960-an yang dihadiri oleh perwakilan yang rata-ratanya tidak memakai tudung! Itu 'muslimat' zaman tersebut, jadi apalah nilai-nilai Islam yang nak diharapkan kepada insan seni yang bermain wayang ketika itu. Akan tetapi kalau seseorang anak wayang yang tampil dengan idea-idea Islamik ketika itu, ia merupakan sesuatu yang luar biasa! Dan itulah P Ramlee yang kita kenal.    
     
    Permulaan jalan seni
     
    Pada tahun awal tahun 1940-an, industri seni tanahair mula berkembang. teater bangsawan (troupe) telah mengambil tempat di pentas-pentas awam dengan tema jenaka dan tragedi. Kebanyakan bakat-bakat baru yang menyerlah ketika ini antaranya ialah Daeng Harris, AR Tompel, Siti Tanjung Perak dan lain-lain. ketika ini juga, industri filem tanahair mula berkembang mengikuti perkembangan filem-filem luar yang semakin mendapat tempat terutama dari Hong Kong dan India. Shaw Brothers melihat satu potensi besar dengan merintis pembukaan studio baru di Jalan Ampas, Singapura. Di awal perkembangan Malay Film Production (MFP) Jalan Ampas, filem-filem kebanyakannya diarah oleh pengarah dari India seperti BS Rajhans, L Krishnan dan ramai lagi. Kemudian lahirlah bintang-bintang filem (film stars) produk Jalan Ampas seperti S Roomai Noor, Maria Menado, Siput Sarawak dan lain-lain. 
     
    Persoalannya, di manakah filem-filem arahan mereka sekarang? Kenapakah tidak diputar di kaca televisyen seperti mana filem-filem arahan dan lakonan P Ramlee? Aktor-aktor yang membintangi filem ini tidak kurang 'star' nya. Dan jika diukur dari sudut nilai filem samada jenaka atau air mata tidak kurang hebatnya. Maka di sinilah timbul kajian tentang idea serta pemikiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam menerapkan sesuatu elemen di dalam sesebuah filem arahan beliau. 
     
    Pertama, tema-tema di dalam filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sangat dekat dihati masyarakat. Konflik rumahtangga antara bapa dan anak, ibu mertua dengan menantu, cinta yang tak kesampaian dek kerana darjat dan keturunan, kehidupan anak-anak bujang, kedaifan hidup seorang miskin dan banyak lagi unsur yang menjadikan filem beliau begitu dirasai oleh setiap insan yang mewakili tema-tema tersebut dalam setiap zaman. Inilah antara sebab mengapa filem beliau tidak lekang dek zaman.
     
    Kedua, elemen-elemen 'Islamik' telah digarap dengan baik oleh beliau dalam beberapa buah filem seperti Anakku Sazali, Ahmad Albab, Tiga Abdul, Semerah Padi, Nasib Labu Labi dan Ali Baba Bujang Lapok. Jika ditinjau filem-filem lain yang sezaman dengannya baik keluaran Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers mahupun Cathay Keris milik Ho Ah Loke, hampir tidak ada seorang pun pengarah lain yang berani menampilkan idea-idea berunsur Islamik untuk digarap dalam filem mereka.
     
    Ketiga, beberapa buah filem lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee kurang mendapat sambutan oleh kerana tema yang cuba digarap merupakan satu idea dan percubaan baru. Ini terbukti dengan filem Sitora Harimau Jadian, Sesudah Suboh dan Gelora yang kurang mendapat sambutan baik ketika ditayangkan ketika itu mahupun diputarkan di kaca televisyen hari ini. Memang benar filem-filem ini diterbitkan di Studio Merdeka yang kurang mahir dari segi kepakaran dan teknologi yang digunakan. Walau bagaimanapun, idea-idea pengarah merupakan sesuatu yang paling menonjol dalam sesebuah filem.
          
    Pemikiran Dakwah P. Ramlee 
     
    Jika diimbas secara sepintas lalu, filem Tiga Abdul, Ahmad Albab dan Ali Baba Bujang Lapok merupakan babak yang paling banyak menerapkan unsur Islamik berbanding filem-filem lain arahan beliau yang lebih merupakan pentas kritik sosial tanpa kita sedar! Walaupun P. Ramlee cuba menerapkan elemen keagamaan dalam Semerah Padi, versi hudud yang dilaksanakan masih boleh diberikan kredit walaupun tidak mencerminkan pelaksaan hudud yang sebenar. Di dalam filem Tiga Abdul, P Ramlee menggunakan latar Isketambola yang mungkin boleh dirujuk Istanbul dalam keseluruhan cerita tersebut. Melalui watak Abdul Wahub, beliau berjaya menghimpunkan segala sifat-sifat kebaikan dan nilai-nilai positif dalam menghadapi kejahatan abang-abangnya, Sidek Segaraga dan Kassim Patalon. 
     
    Di dalam filem ini juga, P Ramlee mengajar kita supaya menyantuni anak-anak yatim, berkahwin dengan orang yang tidak disukai pada awalnya tidaklah menandakan tidak bahagia pada akhirnya, membalas dendam kepada orang yang mengkhianati hanya semata-mata untuk menyedarkan mereka dan banyak lagi unsur Islamik yang digarap melalui watak-watak tersebut. Di dalam Anakku Sazali, ia memberi teladan kepada bapa yang terlalu memberikan kesenangan kepada anaknya atas nama ingin mencurah kasih sayang sehingga ia memberi kesan buruk kepada kehidupan si anak. Melalui watak Haji Bakhil lakonan Udo Umar (Nasib Labu Labi) P Ramlee ingin menegur orang-orang kaya supaya ikhlas dalam menginfaqkan harta mereka kepada rumah anak-anak yatim.
     
    Selain itu, menurut kenalan yang rapat dengan beliau, P Ramlee memang seorang yang pemurah. Dan sifat kepemurahan ini telah ditonjolkan dalam filem beliau melalui watak Abdul Wahub yang menghadiahkan rumah kedai kepada persatuan anak yatim, watak Ali Baba (Ali Baba Bujang Lapok) yang menderma wang emas kepada orang ramai, watak Ramli (Bujang Lapok) yang ditipu oleh seorang wanita tetapi selepas mengekori, beliau membiarkannya setelah menyedari wanita itu adalah orang miskin, watak Harun (Anak Bapak) yang menjaga kebajikan pekerja-pekerja ladang milik bapanya, watak Syawal (Ahmad Albab) yang mengadakan kenduri kesyukuran setelah diberi kesenangan. Ini merupakan sebagai elemen yang digarap oleh P Ramlee di dalam kebanyakan filem arahan beliau. Begitu juga lagu-lagu beliau di mana lirik-lirik tersebut cukup bermakna yang memberi bekas kepada pendengarnya.
     
    Kita tidak tahu sampai bila tulisan-tulisan berkenaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee akan berhenti. Ia akan terus-menerus dinukil oleh pengkaji dan peminat filem kerana akan ada sisi-sisi baru yang dapat dianalisis daripada pemikiran beliau. Ia bergantung kepada kita bagaimana kita melihat sesebuah filem itu. Adakah kita ingin tahu tentang jalan ceritanya, atau adakah kita ingin melepaskan tekanan dengan menonton filem humor? Atau adakah kita ingin mengkaji apakah idea pengarah di sebalik wayang yang dpertontonkan kepada orang awam? Terpulanglah.
     
    Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh (22 March 1929 – 29 May 1973) 
    Semoga roh beliau ducucuri rahmat.
     
     
    Muhammad Ismail Ibrahim
    Editor di The Kelantan Times.

    Disiarkan di Laman Web Sinar Harian pada 2 Jun 2014
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan